Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah agresif dalam memerangi skim cepat kaya sebagai salah satu dari polisi BNM terhadap operator atau pelabur yang melibatkan diri dalam aktiviti kewangan haram.
Gabenor BNM Muhammad Ibrahim berkata pada 2 Mei 2017, terdapat sejumlah 238 akaun yang telah ditutup oleh institusi kewangan.
“Dari semua akaun tersebut, 108 akaun disenaraikan di bawah pengawasan Bank Negara,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2017 hari ini.
Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, individu atau perniagaan yang terlibat dalam aktiviti kewangan haram akan didenda sehingga RM50 juta dan dipenjarakan sehingga 10 tahun. Akta ini menyediakan regulasi dan pengawasan terhadap institusi kewangan, sistem pembayaran dan entiti relevan yang lain seterusnya mengawasi pasaran kewangan dan pasaran tukaran matawang bagi mengekalkan kestabilan kewangan di Malaysia.
“Sebarang pulangan pelaburan sehingga 20 peratus adalah tidak realistik,” kata Muhammad dan tambahnya unit amanah adalah portfolio terbaik yang menawarkan pulangan enam sehingga tujuh peratus.
Beliau menjelaskan akaun yang mempunyai tahap keraguan yang tinggi akan ditutup dan wang tersebut akan dipulangkan kepada pemilik akaun tersebut.
“Dana dalam akaun hanya akan disita atau dibekukan jika mendapat perintah dari mahkamah,” tambahnya.