Pasaran matawang-kripto berhadapan waktu sukar sejak seminggu yang lalu selepas beberapa matawang membuat kenaikan sehingga mencapai paras tertinggi. Kejatuhan yang besar berlaku dalam pasaran matawang-kripto Jumaat lalu menjelang Krismas kemudian pulih semula dan hari ini meneruskan kejatuhan.
Walaubagaimanapun, satu matawang digital iaitu Ripple (XRP) kekal stabil di paras tertinggi. XRP/USD mencapai paras tertinggi $1.45 berdasarkan data yang ditunjukkan di Coinmarketcap. Pada masa artikel ini ditulis, Ripple berada di sekitar harga $1.35 dan masih naik 8.55% hari ini walaupun matawang lain membuat kejatuhan.
Mengikut modal pasaran, Ripple adalah matawang digital ketiga terbesar di dunia sedikit di bawah Etherium. Bitcoin tetap mengetuai matawang lain walaupun merekod kejatuhan 27% setakat ini selepas mencapai paras harga $20,000 dua minggu lalu.
Jadi, kenapa Ripple begitu kuat? Di sini kami sediakan TIGA SEBAB kenapa Ripple masih stabil:
1. Penerimaan institusi perbankan: Beberapa bank dari Jepun sedang mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi Ripple untuk transaksi. SBI Ripple Asia terdiri daripada 60 institusi dijangka menguji teknologi Ripple tahun depan dan ini adalah faktor utama yang memandu kenaikan XRP sejak beberapa beberapa minggu lepas.
2. Liputan CNBC: Brad Garlinghouse Ketua Pegawai Eksekutif Ripple dijemput ke CNBC dan menerangkan teknologi yang digunakan Ripple dan menunjukkan transaksi hanya mengambil masa selama tiga saat. Antara pelanggan Ripple adalah UBS, Unicredit, BBVA, Santander, dan Standard Chartered.
3. Masalah dihadapi Bitcoin: Disebabkan kritikan terhadap Bitcoin yang mengatakan ia bubble dan juga regulasi yang semakin ketat khususnya yang terbaru di Korea Selatan, yuran transaksi menjadi semakin mahal. Disebabkan beberapa masalah transaksi yang lambat, ramai pelabur yang beralih kepada koin alternatif yang lain seperti Ripple.