Kombinasi pengukuhan US dolar dan peningkatan hasil bon kerajaan US telah membenam logam berharga emas pada Isnin. Emas jatuh ke paras terendah hampir dua bulan dan dijangka akan menjadi kejatuhan ketiga berturut-turut hari ini.
Pasaran hadapan emas di Comex ketika ini berada di sekitar $1,233.66 setakat pukul 7.53 malam waktu Malaysia.
Kini, US dolar mengukuh dari paras terendah sembilan bulan lalu yang ditunjukkan dalam indeks US dolar. Indeks yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang utama yang lain ini berada di sekitar 95.82 naik 0.43% setakat ini.
Petang tadi, data terbaru sektor pembuatan UK yang dikeluarkan pada pukul 4.30 p.m. mencapai paras terendah tiga bulan lalu yang menunjukkan kebimbangan terhadap ekonomi UK dalam suasana rundingan Brexit yang tidak menentu.
Gbp/Usd ketika ini bergerak di sekitar 1.2951 jatuh 70 pip dari paras 1.3021 yang dicapai pukul 3 p.m.
Minggu lalu US dolar banyak tertekan oleh komen hawkish dari bank-bank pusat utama dunia iaitu ECB, BoC dan BoE. Komen hawkish tersebut telah membawa pengukuhan matawang Euro, Sterling berbanding US dolar.
Peningkatan dalam pasaran ekuiti global juga turut mengurangkan permintaan terhadap logam berharga seperti emas selepas kaunter-kaunter saham minyak dan perbankan melonjak dari paras rendah minggu lalu.
Selain itu, perak juga susut 0.72% yang membawa harga komoditi ini kepada $16.44 setiap ounce.