Ekonomi Jerman terus memacu pada suku ketiga yang menyebabkan pasangan matawang Euro berbanding US dolar melonjak sejak Selasa sehingga awal sesi Eropah pada Rabu.
Pelabur dilihat lebih yakin dengan pertumbuhan ekonomi (GDP) Zon-Eropah yang naik dari 0.6% kepada 0.8% pada suku ketiga. Hal ini sebenarnya menunjukkan ekonomi Zon-Eropah yang terus kuat dan kukuh.
Hal ini dilihat akan melonjakkan lagi data keseluruhan Zon Eropah sehingga membawa zon ini lebih ke hadapan berbanding ekonomi Amerika Syarikat. Ini juga sebenarnya cenderung diterjemahkan ke dalam nilai matawang khususnya EUR/USD.
Sejak Selasa pasangan matawang EUR/USD melonjak hampir 180 pip setakat pukul 4.56 petang pada Rabu. Bila dilihat kepada pasangan matawang Euro yang lain, Euro mengukuh secara menyeluruh dengan EUR/JPY, EUR/GBP, EUR/AUD, EUR/CAD dan EUR/NZD kesemuanya naik sejak Selasa.
Sentimen ekonomi di Jerman (German ZEW economic sentiment) juga merekod kenaikan dari bacaan sebelum ini walaupun kurang daripada jangkaan.
Walaupun selepas pertumbuhan yang memberangsangkan ini, ECB (European Central Bank) dijangka akan terus mengekalkan kecenderungan yang ‘dovish’ dalam polisi monetari yang menjadikan kenaikan matawang Euro sedikit terhad.
Selagi pembuat polisi ECB khususnya Draghi masih berhati-hati dalam komen yang disampaikan, matawang Euro berkemungkinan masih sukar untuk meneruskan kenaikan.
Penyebab lonjakan EUR/USD juga lebih kepada faktor kelemahan matawang US dolar itu sendiri yang masih tertekan oleh ‘reformasi cukai US’. Selagi tiada perkara yang lebih jelas dalam ‘cukai US’ ini, selagi itu kita melihat US dolar sukar untuk mengukuh. Kalaupun US dolar mengukuh, mungkin dalam keadaan yang terhad.