Matawang US dolar, GBP, Euro dan Yen berkemungkinan bergerak lebih pantas dalam konferens yang berlangsung di Frankfurt hari ini. Konferens yang dianjurkan oleh European Central Bank (ECB) ini telah menjemput tiga panel penting dalam pasaran kewangan global iaitu Mark Carney (Gabenor BoE), Haruhiko Kuroda (Gabenor BoJ), Janet Yellen (Pengerusi The Fed) dan Mario Draghi sendiri sebagai Presiden ECB.
Konferens ini akan berlangsung pukul 6 petang waktu Malaysia hari ini, dan pasaran sudah tentu akan fokus kepada komen yang dibuat oleh ahli-ahli bank pusat terbesar dunia ini.
Lebih-lebih lagi tajuk yang akan dibincangkan adalah berkisar tentang ‘perubahan polisi, cabaran dan peluang dalam menyampaikan komunikasi bank pusat’.
Ia adalah satu perkara yang sangat unik dan menarik apabila orang kuat daripada empat bank pusat terbesar dunia ini dikumpulkan dalam masa yang sama seperti yang berlangsung di Frankfurt hari ini.
Sudah pasti, setiap matawang akan lebih memberi reaksi dengan komen-komen yang diutarakan khususnya tentang normalisasi polisi monetari. Normalisasi polisi adalah kenaikan semula kadar faedah dan juga berakhirnya pelonggaran kuantitatif.
Matawang biasanya akan bergerak lebih tinggi apabila bank pusat memberikan komen seperti itu. Dengan Federal Reserve dalam proses menaikkan kadar faedahnya, kini giliran BoJ, ECB dan BoE pula perlu mengikuti langkah yang diambil oleh The Fed.
Jika mereka memberi komen tentang kadar faedah, ia semamangnya akan menggerakkan matawang mereka sendiri. Namun, sudah tentu mereka juga faham dan maklum oleh kesan komen yang dibuat, dan kita juga menjangka mereka akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar pasaran tidak bergerak terlalu laju.