Pertumbuhan ekonomi Kanada pada Disember naik 0.3% yang mana sejajar dengan jangkaan pasaran. Terdapat kajian semula kepada data sebelum ini yang dikeluarkan pada November kepada peningkatan 0.5% dari 0.4%.
Oleh itu, data ini melengkapkan bacaan pertumbuhan ekonomi Kanada pada suku keempat kepada kenaikan 0.6%. Ia lebih rendah dari data yang direkodkan pada suku ketiga iaitu kenaikan 0.9%.
Dari segi tahunan, pertumbuhan ekonomi (GDP) naik 2.6% pada suku keempat 2016 berbanding jangkaan di sekitar 2.0%, manakala suku sebelum itu meningkat 3.8%.
Bank Pusat Kanada sebelum ini menyatakan, peningkatan kadar pendapatan masih dilihat lemah dan pasaran pekerjaan juga masih menunjukkan sedikit masalah dalam ekonomi yang belum dapat diatasi. Bank pusat akan terus meneliti ketidaktentuan semasa yang memberi kesan kepada ekonomi di masa hadapan.
Kenyataan Bank Pusat secara keseluruhannya adalah lebih ‘dovish‘ dari jangkaan, khususnya apabila mereka menyatakan akan meneliti kenaikan inflasi yang sementara dan juga sedikit masalah dalam ekonomi. Dalam konteks ini, polisi monetari dilihat boleh dilonggarkan lagi dengan jangkaan The Fed yang akan menaikkan kadarnya pada Mac ini.
Dalam konteks ini, perlunya pertumbuhan ekonomi yang benar-benar kukuh sebelum pihak Bank Pusat membuat sebarang perubahan dalam ramalan mereka kepada ekonomi dan sebarang pengetatan kepada polisi semasa.