Aussie Dolar membuat sedikit kenaikan semasa pengumuman polisi monetari pukul 11.30 pagi pada Selasa di mana kadar faedah dikekalkan di paras 1.50%. Gabenor Philip Lowe dan rakan-rakannya tidak membuat banyak perubahan dalam kenyataan polisi RBA.
Selepas sejam daripada penetapan dan kenyataan polisi dikeluarkan, AUD/USD mulai melemah dan meneruskan penurunan sejak pukul 12 tengah hari Selasa sehingga setakat ini pada pukul 8.19 malam.
Apabila dilihat secara keseluruhan dalam kenyataan polisi (policy statement), sememangnya ia lebih cenderung kepada ‘dovish‘ dengan beberapa penegasan tentang inflasi dan kadar tukaran.
Walaubagaimanapun, RBA masih menjangka pertumbuhan ekonomi (GDP) akan meningkat pada kadar purata 3% beberapa tahun akan datang. Dalam masa yang sama mereka kekal bimbang dengan peningkatan paras hutang isirumah (household debt) dan kadar pendapatan yang bergerak perlahan.
Dalam kenyataan polisi, RBA mengatakan, “pasaran buruh menunjukkan pertumbuhan yang kukuh walaupun pertumbuhan gaji kekal rendah.”
“Inflasi juga dijangka akan kekal rendah dalam beberapa ketika walaupun bank pusat menjangka harga akan meningkat secara beransur-ansur.”
Apa yang menjadi perhatian pasaran adalah komen berikut dalam kenyataan polisi pagi tadi yang menunjukkan kebimbangan bank pusat terhadap kadar tukaran Aussie Dolar.
“RBA masih merasakan nilai tinggi Aussie Dolar akan menyumbang kepada kesukaran kenaikan harga dan akan memberi kesan kepada pengeluaran ekonomi dan pekerjaan.”
RBA juga mengulangi komen dovish berikut. “Kenaikan nilai tukaran matawang dijangka akan menyebabkan aktiviti ekonomi dan kenaikan inflasi yang perlahan berbanding unjuran yang dibuat.”
Pergerakan AUD berbanding matawang-matawang utama yang lain juga menunjukkan ia terus tertekan. Ini menunjukkan kelemahan Aussie dolar yang meluas disebabkan oleh penetapan polisi pada Selasa.