European Central Bank (ECB) mengekalkan kadar faedah di paras terendah 0.00% dan kekal dengan keputusan mengurangkan pembelian bon bermula pada Januari 2018. Kenyataan awal juga menunjukkan nada dovish sebelum ini masih dikekalkan oleh bank pusat.
ECB mengesahkan akan mengurangkan pembelian bon kepada 30 billion euro sebulan bermula Januari 2018 sehingga September, atau lebih jika perlu dan sehingga Governing Council (Ahli ECB) melihat pengukuhan inflasi menuju ke arah sasaran inflasi bank pusat.
Kesimpulan dari kenyataan polisi menunjukkan ECB masih mengekalkan frasa atau bait-bait perkataan yang menggambarkan bank pusat masih melihat kebarangkalian rangsangan akan diteruskan selepas September 2018.
“Jika keadaan menjadi kurang baik, atau jika keadaan pasaran kewangan menjadi tidak konsisten dengan pergerakan menuju perubahan inflasi yang kukuh, Governing Council bersedia untuk meningkatkan program pembelian bon dari segi masa atau jumlah,” tegas ECB, yang mengesahkan bank pusat masih terbuka untuk menambah pelonggaran polisi jika diperlukan.
Bank pusat juga akan terus melaburkan semula hasil dari nilai aset yang telah matang di bawah APP (Asset Purchase Program), pada masa akan datang selepas pembelian bon berakhir.
Nantikan ulasan penuh selepas sidang media Mario Draghi yang bermula pukul 9.30 malam ini.