Majoriti indeks saham Asia jatuh pada Khamis selepas minit mesyuarat The Fed yang dikeluarkan semalam agak mengecewakan khususnya dari segi jangkaan kenaikan kadar faedah di masa hadapan.
Indeks MSCI yang mengukur pergerakan keseluruhan pasaran Asia Pasifik dan tidak menagmbil kira Jepun susut 0.1%. Nikkei pula merosot 0.5% berikutan pengukuhan Yen.
KOSPI di Korea Selatan dan ASX200 di Australia kedua-duanya jatuh 0.1 peratus.
Indeks bluechip di China CSI 300 susut 0.5% Hang Seng jatuh 0.3%.
Dagangan Asia setakat hari ini juga banyak mendapat kesan negatif dari ketegangan di semenanjung Korea, di mana Korea Utara menyasarkan ujian peluru berpandu ke kawasan perairan Jepun.
Amerika Syarikat berkata pada Rabu bahawa mereka bersedia menggunakan langkah yang lebih keras jika perlu untuk menghentikan program nuklear Korea Utara, tetapi lebih mengutamakan tindakan diplomatik terhadap Pyongyang.
Prestasi Wallstreet pada Rabu menunjukkan Nasdaq ditutup lebih tinggi 0.7%, tetapi Dow Jones didagang mendatar dengan S&P 500 untung 0.15%.
Ahli-ahli The Fed dalam minit mesyuarat yang dikeluarkan semalam digambarkan sebagai berbeza pendapat dalam banyak hal khususnya jangkaan terhadap inflasi.
“Dengan nada yang bercampur-campur dalam minit mesyuarat dan juga penangguhan pengumuman untuk pengurangan penyata imbangan, tidak mengejutkan kenapa kita melihat pergerakan yang terbatas dalam pasaran,” kata Jingyi Pan penganalisis di IG Singapura.