Matawang Euro mencapai paras tertinggi enam bulan lalu berbanding US dolar pada Selasa yang didorong pengukuhan data ekonomi Zon Eropah, manakala Sterling masih lagi rendah berikutan serangan di Manchester semalam.
Eur/Usd mencapai paras 1.1267 yang merupakan paras tertinggi sejak 9 November sebelum jatuh semula ke paras 1.1230 ketika ini pada pukul 8.35 p.m.
Matawang Euro mencapai paras tertinggi hari ini selepas data PMI petang tadi merekod pertumbuhan di keseluruhan Zon Eropah dengan bacaan 56.8 pada Mei tidak berubah dari bulan sebelum itu.
Matawang GBP masih lagi rendah berikutan serangan di Manchester yang mengorbankan 22 nyawa dan 59 lagi cedera selepas letupan dalam Konsert Ariana Grande. Serangan dipercayai dibuat oleh seorang penyerang yang berseorangan, kata polis.
Segala kempen politik menjelang pilihanraya UK 8 Jun telah dihentikan sehingga notis baru dikeluarkan.
Indeks US dolar yang mengukur kekuatan enam matawang yang lain kini berada di sekitar paras terendah Isnin di 96.83. US dolar melemah sejak minggu lepas apabila jangkaan terhadap rangsangan fiskal semakin kabur yang disebabkan dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap Trump.
Walaubagaimanapun, Usd/Jpy tidak banyak berubah dalam sesi dagangan hari ini yang didagang dalam keadaan ‘ranging‘.
Kelemahan US dolar pula menyokong Aud/Usd dan Nzd/Usd secara berterusan di mana Nzd/Usd telah menguat 130 pip sejak Isnin, manakala Aud/Usd menguat hampir 90 pip.