Harga minyak mentah global melonjak dalam sesi Asia pagi tadi pada Jumaat yang disokong oleh laporan yang mengatakan Donald Trump berkemungkinan membuat sekatan terbaru kepada Iran yang akan mengurangkan pengeluaran minyak mentah global.
Arab Saudi dan negara lain di timur tengah berkemungkinan akan menyokong keputusan Trump berikutan permusuhan mereka dengan Iran. Menurut laporan Reuters, pentadbiran baru US akan membuat sekatan kepada Iran disebabkan ujian peluru berpandu balistik.
Harga minyak WTI (West Texas Intermediate) mencapai paras tertinggi hari ini di $54.05 setong dari paras terendah sesi Khamis $53.35 setong. Manakala minyak Brent (Brent-oil) naik ke paras tertinggi hari ini di $57.12 dari paras terendah Khamis $56.33 setong.
Pasaran masih bimbang dengan jumlah stok yang meningkat di US sejak beberapa minggu lalu dan juga tambahan dalam jumlah pelantar minyak yang dilaporkan oleh Baker Hughes juga meningkatkan kebimbangan kenaikan pengeluaran beberapa bulan akan datang.
Walaubagaimanapun, minyak mentah akan terus mendapat sokongan dari perjanjian pemotongan bekalan oleh OPEC dan non-OPEC dalam jangka pendek. Setakat ini perkembangan dalam pemotongan keluaran tersebut masih positif dengan pengurangan 1 juta pengeluaran sehari dengan Russia memotong sebanyak 100,000 tong sehari.
Harga minyak mentah global ketika ini didagang rendah dari paras yang dicatatkan dalam sesi Asia pagi tadi dengan minyak WTI kini $53.72 setong dan Brent-oil $56.76 setong.