Wallstreet pada Isnin dibuka lebih tinggi berikutan sentimen pasaran yang semakin baik di mana ribut Irma ketika ini melemah kepada kategori 1 yang berkelajuan lebih rendah. Pasaran Asia pada Isnin juga dibuka lebih tinggi disebabkan kelegaan pasaran berikutan Korea Utara yang tidak menjalankan ujian peluru berpandu.
Indeks Dow Jones dalam dagangan setakat pukul 10 malam waktu Malaysia meningkat 0.94%. S&P 500 pula naik 0.87% dan Nasdaq naik 1.20%.
Indeks volatiliti (VIX) S&P 500 yang menunjukkan tahap ketakutan pasaran terhadap keadaan semasa juga semakin menurun yang menunjukkan sentimen yang semakin baik. Indeks ini jatuh 7.23% setakat pukul 10.12 malam.
Dalam pasaran minyak mentah pula menunjukkan kejatuhan harga dalam penanda aras utama global iaitu WTI (West Texas Intermediate) dan Brent. Kedua-dua penanda aras ini masing-masing jatuh 0.59% dan 0.93% setakat ini disebabkan ribut yang melanda Amerika Syarikat akan menyebabkan permintaan terhadap komoditi ini berkurangan.
Indeks saham Eropah juga semakin meningkat di mana ketika ini meneruskan kenaikan selepas dibuka lebih tinggi pukul 3 petang tadi. DAX30, CAC40 dan STOXX600 ketika ini masing-masing meningkat 1.41%, 1.27% dan 0.99% setakat pukul 10.21 malam.