Kemasukan pelaburan ke Bursa Malaysia mencapai paras tertinggi minggu lalu yang juga merupakan kenaikan kedua minggu berturut-turut aliran masuk modal ke dalam pasaran ekuiti domestik, seperti yang dilaporkan oleh MIDF.
Kemasukan pelaburan asing berjumlah RM362.6 juta dalam dagangan minggu lalu walaupun Isnin adalah cuti umum. Menurut kumpulan penyelidik MIDF jumlah pelaburan minggu lalu adalah yang tertinggi sejak 17 minggu lepas.
“Kami melihat pelabur asing adalah pembeli paling banyak setiap hari dalam minggu lalu. Khamis pula merekodkan kemasukan modal tertinggi berjumlah RM153.1 juta yang tertinggi sejak 13 Julai dan dalam masa yang sama Ringgit turut mengukuh dan harga minyak mentah Brent turut meningkat.”
“Kami juga melihat kemasukan aliran modal ke Malaysia adalah sejajar dengan Thailand, namun bertentangan dengan tren keseluruhan Asia yang mengalami aliran modal keluar.”
Jumlah terkumpul aliran modal masuk ke Bursa Malaysia sejak setahun lepas kini berjumlah RM10.7 billion.
Kadar penyertaan pelabur asing juga adalah tinggi dengan nilai purata dagangan harian (ADTV, average daily trade value) meningkat 29% sehingga mencapai RM1 billion untuk kali pertama sejak 10 minggu lalu.
Nilai bersih dagangan minggu lalu pula dalam julat RM936 juta kepada RM1.5 billion.