Presiden Fed cawangan Dallas Robert Kaplan (pengundi) menegaskan pendirian beliau pada Selasa bahawa tiga kenaikan kadar faedah tahun ini masih bersesuaian.
Tambahnya, walaupun begitu, Federal Reserve perlu terus memerhatikan perubahan aktiviti ekonomi sama ada The Fed perlu menggunakan pendekatan ‘hawkish‘ atau ‘dovish‘ dalam penentuan kadar di masa depan.
Manakala Eric Rosengren (bukan-pengundi), presiden Fed cawangan Boston memberi amaran bahawa kenaikan kadar yang lebih pantas adalah perlu, jika tidak kadar pengangguran akan terus jatuh di bawah paras ‘pengangguran semulajadi’ (natural unemployment) dan menyebabkan ekonomi terlalu panas (overheat).
Bagi Rosengren, kadar pengangguran semasa 4.4% adalah paras terendah 10 tahun lalu yang telah jatuh dari anggaran ‘pengangguran semulajadi’ beliau 4.7%.
Tambahnya lagi, jika kadar pengangguran jatuh ke paras di bawah 4% akan menyebabkan ekonomi terlalu panas bersama dengan inflasi yang tinggi yang akan menyebabkan kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi.
Manakala seorang lagi presiden Fed Esther George (bukan-pengundi) mengatakan beliau menyokong langkah pengurangan pegangan aset The Fed tahun ini. Jumlah 4.5 trilllion dalam penyata imbangan bank pusat telah menolak kadar faedah jangka panjang ke bawah di mana langkah mengurangkan pegangan itu akan menaikkan semula kadar tersebut dan menyejukkan semula pasaran pekerjaan dan inflasi.
Kata George lagi, selepas Fed menjalankan langkah pengurangan pegangan bon, mereka perlu membiarkan polisi bergerak secara ‘autopilot’.