Presiden Fed cawangan Dallas Robert Kaplan berkata pada Selasa bahawa, “Dengan hasil-bon 10 tahun US berada di paras terendah, The Fed perlu berhati-hati dalam menaikkan kadar faedahnya.”
Hasil-bon yang rendah menunjukkan pasaran melihat pertumbuhan ekonomi yang lembap di masa hadapan, kata Kaplan. Tambahnya, “Saya rasa jika kadar faedah bon 10-tahun kekal di paras semasa, kita perlu berhati-hati dengan tindakan mengurangkan akomodasi dalam polisi monetari.”
Kaplan yang bercakap di Kelab Komanwel California, juga mengatakan kini The Fed telah dua kali menaikkan kadar faedahnya dan sampai masanya menunggu lebih banyak bukti data ekonomi yang menunjukkan kelemahan inflasi sebelum ini hanyalah sementara, seperti yang dikatakan oleh Pengerusi Janet Yellen.
Setakat ini ahli The Fed yang telah memberikan komen mereka minggu ini adalah Dudley, Evans, Rosengren dan Kaplan.
Presiden Fed cawangan Boston, Eric Rosengren berkata pada Selasa bahawa era kadar faedah rendah di Amerika dan negara lain terdedah kepada risiko kestabilan.
“Polisi monetari kurang mampu mengimbangi kejutan negatif apabila kadar faedah di paras rendah.”
Secara khususnya, beliau mengatakan keluk hasil bon begitu sensitif kepada tindakan pembuat polisi apabila bank pusat mula mengurangkan rangsangan monetari.
Naib Pengerusi Federal Reserve Stanley Fischer pada Selasa memberi amaran bahawa dalam usaha US dan negara lain mengukuhkan pasaran perumahan masing-masing, banyak lagi perkara lain harus dilakukan untuk mengelak krisis di masa hadapan.