Sehari sebelum hari pilihanraya umum United Kingdom, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan Parti Konservatif kehilangan 16 mata berbanding bulan lalu.
Tinjauan Survation menunjukkan Konservatif dengan sokongan 41.5% berbanding Buruh 40.4%. Dua lagi parti adalah Liberal dengan 6% dan Ukip 3%.
Manakala tinjauan yang lebih kompleks oleh Yougov memperlihatkan Konservatif hanya memenangi 304 kerusi yang berkurangan sebanyak 26 kerusi dari pilihanraya sebelum ini.
Model tinjauan yang digunakan oleh Yougov juga menunjukkan Parti Buruh akan memenangi 266 kerusi yang meningkat sebanyak 37 kerusi dari sebelum ini, dengan Parti Kebangsaan Scotland menang 46 kerusi (merosot lapan kerusi). Hal ini menunjukkan tiada parti yang akan mendapat majoriti yang memerlukan 323 kerusi parlimen.
Walaubagaimanapun, terdapat banyak perbezaan dalam kalangan tinjauan-tinjauan yang dibuat dengan yang terkini memperlihatkan sokongan kepada Jeremy Corbyn semakin meningkat.
Dalam tinjauan yang dibuat Yougov minggu lalu, kita dapati lebih ramai pengundi di London yang mengatakan pemimpin Buruh akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik berbanding Theresa May. Di London sahaja, Buruh mendahului 17 mata berbanding Konservatif, satu perbezaan yang begitu besar.
Pasaran dilihat bimbang jika kerajaan gagal mendapat sokongan yang lebih banyak dalam pilihanraya mengejut ini sekaligus memberi kesan kepada rundingan rumit Brexit antara UK dan EU.
Sebelum ini Perdana Menteri Theresa May mengadakan pilihanraya adalah untuk mengukuhkan kedudukannya di Parlimen bagi memudahkan rundingan Brexit. Oleh itu, jika perkara ini gagal dicapai oleh Theresa May sendiri, ia menunjukkan kelemahan kerajaan UK dan tindakan berjudi jika Parti Buruh berjaya memenangi pilihanraya.