Ekonomi Kanada merosot pada Ogos selepas tidak berubah pada Julai. Di antara negara ekonomi utama dunia, Kanada adalah satu-satunya negara yang mengeluarkan data pertumbuhan ekonomi (GDP) setiap bulan.
Dalam laporan yang dikeluarkan Jabatan Statistik Kanada, gross domestic product, GDP (Keluaran dalam Negara Kasar, KDNK) meleset sebanyak -0.1% pada Ogos. Jangkaan pasaran untuk data kali ini meningkat 0.1%.
Sejurus selepas data ini dikeluarkan, pasangan matawang USD/CAD naik hampir 80 pip yang menunjukkan kelemahan dolar Kanada (CAD). CAD juga melemah berbanding matawang utama dunia yang lain. GBP/CAD melonjak hampir 100 pip setakat pukul 8.47 malam.
Sektor pembuatan yang termasuk dalam kiraan KDNK Kanada merekodkan penurunan sebanyak 1.0%. Pembuatan dalam sektor kimia jatuh mendadak sehingga 7.3% yang terbesar sejak 20 tahun lalu berikutan penutupan kilang-kilang dan permintaan eksport yang lemah.
Sektor galian, kuari dan minyak/gas pula jatuh 0.8% berikutan proses baik pulih yang menyebabkan pengeluaran yang merosot.
Minggu lalu, bank pusat menurunkan unjuran terhadap pertumbuhan bagi suku ketiga kepada 1.8% daripada 2.0%. Bank of Canada juga memberikan panduan (guidance) yang dovish di mana mereka akan lebih berhati-hati apabila menaikkan kadar faedah di masa akan datang.