Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta (JPPH) melaporkan bahawa pasaran hartanah tempatan mencatatkan penurunan jumlah jualan sebanyak 11.5 peratus dan menjunam 3 peratus dari segi nilai gara-gara pasaran yang terus dinilai dalam keadaan melemah.
JPPH berkata rumah kediaman menyumbang sebanyak 63.4 peratus kepada keseluruhan pasaran dan 45.1 peratus dalam nilai hartanah.
Dalam masa yang sama, jabatan ini juga menyifatkan bahawa rumah mampu milik terus mendapat permintaan dengan peratusan melebihi 65 peratus bagi rumah bernilai RM 300,000 dan ke bawah.
Dalam majlis pelancaran Laporan Pasaran Hartanah 2016 itu, 320,000 transaksi dikatakan berjaya direkodkan tahun lepas yang bernilai sehingga RM145.41 Billion dengan semua sektor menyaksikan penurunan kecuali sektor pertanian.
Hartanah baru juga dicatat menurun kepada hampir 53,000 unit berkurang sebanyak 9.8 peratus berbanding 58,000 unit pada 2015.
Selain itu, kekosongan di dalam sektor pejabat dan runcit meningkat disamping Kuala Lumpur dan Selangor menyaksikan 2.74 juta meter persegi ruang pejabat kosong dengan kenaikan 16 peratus daripada tahun 2015.
Ruang niaga yang kosong juga meningkat sebanyak 11.9 peratus berbanding tahun 2015.
Menurut JPPH lagi, pasaran hartanah dijangka akan kekal melemah dalam beberapa tahun akan datang.