Harga minyak mentah dunia hari ini susut sedikit dalam sesi Asia pagi tadi, selepas bergerak turun-naik dalam sesi Isnin berikutan berita bercampur-campur dari pengeluar dan pengguna global.
Harga minyak mentah jatuh pada mulanya selepas China menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi mereka kepada 6.5% tahun ini, tetapi laporan yang mengatakan Iraq berkemungkinan menyertai pemotongan oleh OPEC jika ada pemotongan kedua pada separuh kedua tahun ini memberi sedikit sokongan kepada komoditi ini.
Di bawah perjanjian pemotongan 24 negara, Iraq bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran mereka sebanyak 201,000 tong sehari. Dalam temubual hari ini, Menteri Minyak Iraq berkata kepada Reuters bahawa terlalu awal untuk meramalkan pemotongan kedua. Beliau berkata, “Ia akan bergantung kepada kestabilan pasaran dan harga minya itu sendiri.”
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (International Energy Agency, IEA), bekalan minyak mentah dijangka akan meningkat sebanyak 1.4 juta tong sehari menjelang 2022 dengan jangkaan harga purata tahun ini di sekitar $60 setong.
Tambahan lagi IEA menjangka permintaan yang rendah bagi pasaran Eropah, faktor yang turut memberi tekanan kepada harga komoditi ini. Berikutan peningkatan bekalan dari US, penganalisis telah menurunkan ramalan harga minyak mereka tahun ini. Berdasarkan ‘Fitch Ratings’. purata harga minyak dijangka akan berada di bawah harga tiga suku tahunan sebelum ini berbanding harga semasa.
Ketika ini minyak WTI (west texas intermediate) didagang di sekitar $53.76 setong manakala minyak Brent didagang di sekitar $56.32 setong. Kedua-dua harga asas minyak dunia ini naik dari paras terendah pagi tadi.