Matawang GBP naik semula pada awal sesi dagangan Isnin selepas menyusut pada Jumaat. Walaubagaimanapun, pasangan matawang GBP/USD ketika ini jatuh semula selepas mencapai paras tertinggi 1.3569, dan kini berada di sekitar 1.3485 setakat pukul 6.51 petang. GBP/USD jatuh 90 pip dari paras tertinggi tersebut setakat ini.
“Kejatuhan pada Jumaat adalah disebabkan kekecewaan pasaran berikutan PM May tidak menyediakan maklumat yang lebih lanjut tentang Brexit dalam usahanya untuk mempercepatkan rundingan,” kata Lee Hardman penganalisis matawang di MUFG.
“Memastikan perjanjian transisi antara kedua pihak (EU-UK) akan membantu menyokong Sterling dan mengurangkan kesan negatif kepada ekonomi.”
Ketika ini pedagang-pedagang akan fokus kepada rundingan pusingan keempat Brexit di Brussels pada Isnin. Ketua perunding EU Michael Barnier berkata ucapan May pada Jumaat adalah “konstruktif” tetapi Barnier mahu pendirian yang lebih kukuh oleh Britain.
Untuk pasangan matawang EUR/USD turut membuat kenaikan pada sesi awal selepas dibuka rendah akibat gap-down pagi tadi. Namun, ketika ini telah membuat penurunan selepas mencapai paras tertinggi 1.1935.
Penganalisis di UOB pada Isnin berkata pasangan matawang ini akan terus bergerak di sekitar julat semasa dalam masa terdekat. Minggu ini, ada beberapa berita yang perlu diberi perhatian bagi pasangan EUR/USD, antaranya ialah ucapan Fed Dudley pada pukul 8.30 malam ini.
Selepas itu ucapan Presiden Draghi pula akan menjadi fokus pada pukul 9 malam.