Majoriti pengeluar minyak mentah OPEC dan bukan-OPEC menyokong untuk perlanjutan pemotongan bekalan di mana Iran juga akan menyokong perkara ini, kata Menteri Minyak Iran Bijan Zanganeh.
“Zanganeh menjelaskan yang kebanyakan negara mahu OPEC melanjutkan pemotongan,” kata satu laporan dari Student News Agency (ISNA).
“Iran turut menyokong keputusan tersebut jika yang lain bersetuju,” kata Zanganeh kepada wartawan pada Sabtu.
Pasaran minyak mentah global mengalami lebihan bekalan sejak pertengahan 2014 yang mendesak OPEC dan bukan-OPEC untuk bersetuju bagi pemotongan bekalan selama enam bulan bermula pada Januari 2017.
OPEC akan bermesyuarat pada 25 Mei untuk membincangkan tentang pelanjutan pemotongan bekalan selepas Jun. Arab Saudi, Kuwait dan majoriti ahli OPEC lebih senang jika perjanjian ini dicapai bersama pengeluar-pengeluar lain seperti yang dilaporkan oleh Reuters bulan lalu.
Perkembangan terbaru ini memberi sedikit kelegaan kepada pemain pasaran komoditi hitam terutamanya pengeluar-pengeluar minyak global dengan harga minyak mentah kini telah memulih hampir 100% dari kejatuhan berterusan 7 Mac.
Data Inventori dari US yang dilaporkan sebelum ini juga menunjukkan stok yang berkurangan buat kali pertama dalam masa sebulan. Hal ini menambah lagi sentimen positif dalam pasaran komoditi hitam setakat ini.