Seorang lagi ahli Kongres menyeru tindakan dibuat bagi pemecatan Presiden Donald Trump dan berkata terdapat cukup bukti untuk mendakwa atas kesalahan menghalang keadilan.
Brad Sherman menyatakannya pada Isnin yang menyebarkan artikel yang ditulis sendiri kepada rakan-rakannya di Kongres.
Tindakan kepada pemecatan Trump adalah agak sukar dengan Parti Republikan memegang majoriti di Kongres dan mereka tidak akan membawa perkara ini untuk mendakwa Presiden Trump yang juga ahli Republikan.
Sherman adalah ahli Demokrat terbaru yang mengutarakan perkara ini bagi memecat Presiden Trump. Sebelum ini, Maxine Waters dari California dan Al Green wakil dari Texas juga telah mendesak hal ini dimulakan.
Bekas peguam negara Amerika Syarikat Preet Bharara berkata pada Ahad bahawa beliau menerima panggilan telefon yang ‘luar biasa’ dari Donald Trump selepas pilihanraya November yang membuatkan beliau tidak selesa dan mengatakan beliau dipecat selepas enggan menjawab panggilan yang ketiga.
Preet Bharara mengatakan adalah tidak sesuai untuk menjawab panggilannya kerana pada masa itu Trump belum rasmi sebagai Presiden. Namun Bharara dipecat selepas tidak menjawab panggilan ketiga dari Trump.
Bharara tidak memberi komen sama ada beliau merasakan Trump telah menghalang keadilan dalam perbualan itu dan juga pemecatan Comey. Namun, dia berkata adanya “bukti yang mutlak untuk memulakan kes” berkaitan perkara ini.