Polis di Raja Malaysia (PDRM) telah menahan enam individu yang disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan skim pelaburan tukaran matawang asing (forex) yang membabitkan kerugian sejumlah wang RM80 juta.
Suspek-suspek tersebut termasuklah seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor semalam. Pihak PDRM mengatakan sebelum tangkapan dibuat mereka telah menerima bayak laporan berkenaan skim ini yang dipercayai dikendalikan oleh Syarikat VenusFX.
Melalui temubual yang dibuat bersama PDRM, dipercayai syarikat tersebut memperdayakan mangsa dengan skim pelaburan yang hakikatnya tidak wujud.
Pihak polis juga melaporkan setiap pelaburan hendaklah tidak kurang dari RM2000 sehingga maksimum RM40,000 di mana pembayaran keuntungan dibayar setiap hari. Walaubagaimanapun, para pelabur tidak mendapat apa yang dijanjikan oleh syarikat tersebut.
Siasatan juga mendapati lebih dari 23,000 orang pelabur menjadi mangsa penipuan skim ini dengan anggaran kerugian yang mencecah RM80 juta.
“Semua suspek kini direman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297),” kata PDRM.
Oleh itu, pihak PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan skim-skim seperti ini yang menjanjikan pulangan lumayan.