Presiden Trump seakan berjudi apabila mempertaruhkan Roy Moore sebagai calon Senat Republikan dalam pilihanraya Senat di Alabama. Moore berhadapan dengan dakwaan gangguan seksual terhadap remaja perempuan dan ini dianggap perjudian oleh Trump apabila Moore kalah kepada calon Demokrat.
Kemenangan calon Demokrat Doug Jones di Alabama dalam pilihanraya pada Selasa adalah satu tamparan kepada Trump yang berpotensi menyebabkan Republikan kehilangan kuasa majoriti di Kongres AS.
USD/JPY membuat kejatuhan hampir 40 pip pukul 11 pagi pada Rabu selepas laporan kemenangan Demokrat di kubu kuat Republikan.
Alabama adalah salah satu kawasan yang telah lama dipegang oleh Republikan. Demokrat ketika ini yakin mereka mempunyai peluang besar untuk mengambil semula kuasa di House of Representative dalam pilihanraya Kongres tahun depan. Kemenangan Jones di Alabama juga meningkatkan potensi untuk Demokrat menguasai semula Senat.
Jika Demokrat menguasai semula kedua-dua dewan di Kongres itu, mereka akan menjadi pengawal kepada setiap agenda Trump dan berkemungkinan besar memulakan proses pemecatan beliau.
“Kekalahan Republikan di kubu kuat mereka adalah satu panggilan penting betapa tidak layaknya calon mereka,” kata Jesse Ferguson, strategist dan bekas pegawai kempen pilihanraya Hillary Clinton.
Demokrat tidak menjangka akan mendapat kemenangan di Alabama di mana mereka tidak pernah menang dalam pilihanraya Senat sejak 25 tahun lalu. Tetapi dengan Trump yang tidak popular dan dakwaan seksual terhadap Moore telah menyebabkan Republikan kalah di Alabama.