Cyberjaya disasarkan untuk menjadi bandar pertama tanpa wang tunai dengan pelancaran e-dompet (e-wallet) Malaysia pertama TaPay (Take Action Pay) hari ini, kata Ketua Setiusaha Kementerian Kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Projek ini akan dimulakan dengan beberapa kedai terpilih dalam tempoh sebulan sebelum pembayaran online ini diteruskan ke sekitar Lembah Klang, seluruh negara dan Asia Tenggara.
“Kami berharap ia akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap transaksi tunai sebanyak 37% dalam tempoh tiga tahun.
“Ini adalah perubahan yang dimahukan oleh kerajaan terhadap rakyat dan perniagaan agar terus kekal relevan di antara negara-negara yang pesat membangun.”
TaPay adalah hasil kerjasama Fullrich Malaysia Sdn Bhd, Cyberview Sdn Bhd dan Affin Bank Group.
Irwan yang juga Pengerusi Cyberview berkata masyarakat yang ‘cashless‘ ini adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk melonjakkan inisiatif ekonomi digital yang akan menjadi sumber baru pertumbuhan ekonomi.
“Kami memilih Cyberjaya kerana bandar ini dilengkapi dengan infrastruktur dan fungsi yang sejajar dengan bandar pintar,” tambah beliau.
E-dompet TaPay ini sedang dibangunkan dan diteliti menerusi semua jaringan langsung dengan mengambil kira 100,000 input daripada kelompok peniaga, penduduk, dan institusi pendidikan.
TaPay boleh digunakan sebagai alat transaksi pembelian barangan dan perkhidmatan serta pemindahan wang ringgit digital sesama pengguna aplikasi tersebut.
Aplikasi ini bertujuan menjadikan kehidupan pengguna lebih mudah kerana mengurangkan keperluan membawa wang tunai, kad debit, kad kredit dan resit.