Presiden Trump akan bertemu dengan pengerusi The Fed Janet Yellen pada Khamis sebagai salah seorang calon pengerusi bank pusat yang baru selepas penggal beliau tamat pada Februari 2018.
Terdapat berita yang melaporkan bahawa Trump telah bertemu dengan penganalisis ekonomi John Taylor bagi membincangkan jawatan sebagai pengerusi bank pusat yang baru.
Calon pengerusi The Fed yang baru antaranya adalah Jerome Powell iaitu gabenor The Fed, Kevin Warsh iaitu bekas gabenor, penasihat ekonomi Trump Gary Cohn dan Yellen sendiri yang mana penggal beliau tamat tahun depan.
Staf White House John Kelly berkata Presiden Trump akan mengambil sedikit masa untuk menentukan siapakah yang layak sebagai pengerusi The Federal Reserve.
“Temuduga masih berjalan,” kata kelly kepada wartawan. “Semua calon yang ditemu duga adalah dalam pemilihan pusingan pertama, dan banyak lagi yang perlu dilakukan,” tambah beliau.
Trump memberitahu wartawan lewat bulan lalu bahawa beliau telah bertemu dengan empat calon dan akan membuat keputusan “dalam masa dua hingga tiga minggu.”
Pegawai White House berkata Trump telah bertemu dengan Taylor pada Rabu bagi membincangkan perkara ini, yang disertai oleh Naib Presiden US Mike Pence, Menteri Kewangan Steve Mnuchin. Bulan lalu Trump telah pun bertemu dengan Kevin Warsh seorang bekas gabenor The Fed.
Laporan yang tersebar pada Isnin yang mengatakan ‘Trump berpuas hati dengan Taylor’ telah menyokong US dolar disamping laporan pertemuan diplomat US dan Korea Utara. Taylor dianggap sebagai seorang yang hawkish oleh pasaran.