Presiden Trump menyalahkan dan menyerang agensi berita yang melaporkan menantu beliau Kushner mempunyai hubungan dan pernah berkomunikasi dengan pihak Rusia sebelum Trump secara rasmi ke White House. Trump berkata agensi-agensi berita ini adalah “fake news“.
Selepas saja Trump membuat dakwaan tersebut di Twitter peribadinya, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly berkata komunikasi dengan Rusia adalah sesuatu yang baik.
Presiden Trump kembali ke White House selepas rangka lawatan sembilan hari ke Timur Tengah dan Eropah yang berakhir pada Sabtu. Beliau dijangka akan berhadapan dengan lebih banyak soalan dari media tentang hubungan Jared Kushner dan duta Rusia ke Washington.
“Pada pendapat saya, kebanyakan kebocoran maklumat yang keluar dari White House adalah penipuan semata-mata yang dibuat oleh “media berita palsu”, kata Trump di laman Twitternya.
Dalam kenyataannya pada malam Ahad, Trump memuji Kushner dan kerja yang telah dilakukannya di White House.
“Jared telah melakukan yang terbaik untuk negara,” katanya. “Saya yakin dengan sepenuhnya kepada beliau. Beliau dihormati oleh semua orang dan sedang bekerja dalam program yang akan menjimatkan negara kita berbillion dolar. Beliau juga adalah seorang yang sangat baik.
White House kini berhadapan dengan banyak soalan tentang potensi hubungan bersama Rusia dan juga kempen Presiden Trump tahun lalu yang sedang di bawah penyiasatan kongres.