Data pekerjaan UK pada Rabu dinilai sebagai bercampur-campur yang membawa kepada pergerakan GBP yang turut bercampur-campur. Ia jelas dilihat dalam pasangan matawang GBP/USD selepas pukul 5.30 petang pada Rabu.
Indeks purata pendapatan (Average earning index) untuk bulan Oktober agak memberangsangkan. Gaji yang mengambil kira bonus naik dari 2.3% kepada 2.5% seperti yang dijangka.
Dengan data gaji yang menepati jangkaan, pelabur pada mulanya teruja namun bila dilihat secara lanjut kenaikan gaji masih lagi jauh di bawah kenaikan kadar inflasi. Ini menunjukkan pengguna di UK dijangka terus terbeban dengan kenaikan harga domestik.
Kadar pengangguran pula kekal 4.3% dengan jumlah pekerjaan yang merosot untuk bulan kedua berturut-turut.
Sebelum laporan data pekerjaan ini dikeluarkan pada Rabu, pelabur terlebih dahulu fokus kepada data inflasi UK yang dikeluarkan pada Selasa di mana bacaan CPI melebihi jangkaan.
Seperti yang kita maklum, kenaikan inflasi lebih tinggi akan memberi tekanan kepada Bank of England (BoE) tetapi pelabur lebih menumpukan kepada data gaji yang masih menekan pengguna di Britain.
Dengan data yang agak memberangsangkan ia tetap tidak banyak mengubah jangkaan terhadap polisi BoE. Walaubagaimanapun, bank pusat masih boleh menyebabkan pergerakan signifikan kepada GBP pada Khamis bergantung kepada nada kenyataan yang disampaikan.
Bank of England akan mengumumkan polisi monetari pada Khamis dan sebarang isyarat kepada pengetatan polisi monetari pada 2018 sudah tentu akan melonjakkan matawang GBP.
Namun, jika bank pusat menunjukkan kebimbangan terhadap ekonomi Britain dan mengambil pendirian berhati-hati seperti ‘tunggu dan lihat’, GBP dijangka akan membuat penurunan dengan spekulasi terhadap pengetatan polisi semakin reda dan dilupakan oleh pasaran.