Jabatan Buruh US melaporkan peningkatan jumlah tuntutan faedah/insurans pengagguran (Jobless claims) sebanyak 22,000 kepada 259,000 bagi minggu berakhir pada 20 Januari berbanding minggu sebelum itu yang mencatatkan jumlah 237,000 tuntutan yang telah dikaji semula dari bacaan asal 234,000.
Data yang dikeluarkan ini lebih tinggi dari jangkaan penganalisis sebanyak 247,000 jumlah tuntutan pengangguran.
Jobless claims bermaksud jumlah penduduk yang pertama kali membuat permohonan insurans pengangguran. Ia juga dipanggil sebagai Unemployment claims.
Tuntutan atau permohonan faedah pengangguran berada di bawah 300,000 untuk 99 minggu berturut-turut yang paling lama sejak tahun 1970. Jumlah penduduk yang terus menerima faedah pengangguran meningkat sebanyak 41,000 orang kepada 2.10 juta berbanding 2.05 juta sebelum ini.
Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya banyak disumbangkan oleh perbelanjaan domestik. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah dalam keadaan optimum. Untuk melihat keadaan optimum dalam pasaran buruh, kadar pengangguran haruslah berada di bawah dan tidak melebihi 5%.
Harus diingat data-data pekerjaan bagi negara seperti US adalah sangat penting bagi menentukan ekonomi US sedang berada dalam keadaan baik ataupun tidak.
Sepertimana pemain pasaran memberi perhatian kepada data NFP (non-farm payroll) setiap bulan, data ini juga tidak kurang pentingnya kerana ia juga memberikan gambaran jumlah penduduk yang sedang menganggur.