Keuntungan US dolar sedikit berkurangan tetapi masih kukuh berbanding beberapa matawang utama yang lain pada Jumaat. Selepas laporan data NFP pukul 9.30 malam tadi, USD/JPY membuat penurunan dengan data gaji yang meleset daripada jangkaan.
Indeks US Dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang lain hanya naik 0.06% setakat pukul 10.41 malam.
Apa yang mengecewakan pasaran dengan data NFP malam ini, adalah kadar gaji yang meleset daripada jangkaan, walaupun tambahan pekerjaan melebihi jangkaan 198,000.
GBP/USD yang bergerak volatile (turun-naik) sejak Isnin ketika ini susut 0.44% selepas mencapai paras tertinggi pada Jumaat. Walaupun dengan sentimen yang semakin baik dari segi rundingan Brexit, Britain dijangka akan berhadapan rundingan lebih sukar dalam fasa kedua tahun depan.
Matawang Euro tidak banyak digerakkan oleh data-data penting Zon Eropah dan pasaran minggu ini lebih banyak menumpukan kepada perkembangan reformasi cukai U.S., rundingan Brexit dan data NFP.
Pasaran Minyak Mentah
Harga minyak mentah WTI (West Texas Intermediate) ketika ini naik sehingga 1.27% setakat pukul 10.49 malam. Hal ini disokong oleh permintaan oleh China yang mengimbangi kenaikan inventori di AS.
Harga dilonjakkan apabila data rasmi yang dikeluarkan oleh General Administration of Custom menunjukkan permintaan China meningkat ke paras tertinggi kedua pada bulan November.
Pasaran Komoditi Berharga
Harga emas membuat kenaikan sejak pukul 9.30 malam tadi apabila data kadar gaji Amerika Syarikat meleset daripada jangkaan. Data tersebut sekaligus menyebabkan penurunan US dolar yang jelas dilihat dalam pasangan USD/JPY dan EUR/USD.
Kelemahan US dolar biasanya akan menaikkan harga emas dengan pelabur semakin mudah membeli emas kerana harga emas yang murah disebabkan kejatuhan US dolar. Untuk pengetahuan pembaca, emas dinilai dalam US dolar, sama seperti perak dan logam yang lain.