Matawang AUD masih terpalit dengan krisis perang dagang antara AS-China atas faktor Australia salah satu rakan dagang terbesar China. Terbaru, Westpac Banking Corp menyatakan akan menaikkan kadar pinjaman rumah seterusnya bakal meningkatkan jangkaan bahawa Reserve Bank of Australia (RBA) akan mengekalkan kadar faedah yang sedia ada supaya tidak membebankan pengguna dan mengelakkan masalah pasaran perumahan di Australia.
Turut menambah lagi kejatuhan nilai Aussie adalah data perbelanjaan modal persendirian (CAPEX) di Australia yang dicatatkan merosot kepada -2.5% daripada 1.2% sebelum ini.
Sementara itu, matawang USD yang sebelum ini didagangkan bercampur-campur serta agak lemah dilihat positif hari ini dalam pasaran dengan bacaan data keyakinan pengguna semalam dicatatkan baik sekaligus menambahkan lagi jangkaan terhadap data perbelanjaan peribadi (personal spending) akan menaik berikutan kadar gaji dan hasil jualan di Amerika Syarikat turut meningkat. Perkembangan isu NAFTA juga optimis dimana pasaran melihat gambaran positif terhadap semua pihak yang terlibat.
Secara teknikal, pergerakan harga minggu ini bagi pasangan matawang AUD/USD dilihat kembali membuat penurunan setelah harga tidak berjaya menembusi (breakout) paras resistance 0.73600.
Semalam, harga mengalami kejatuhan setelah data indeks keyakinan pengguna di AS mencatatkan bacaan positif dan lonjakan nilai USD telah menekan harga lebih rendah sehingga ke paras support 0.72800. Harga kembali membuat sedikit kenaikan sehingga ke paras 0.73100 dan pada sesi pasaran Asia pagi tadi, harga kembali membuat penurunan ke paras support semalam di 0.72800.
Harga bergerak di bawah garisan Moving Average 100 (MA100) di mana harga semasa berada di zon harga 0.728500 setakat jam 4.40 petang. Jika harga berjaya menembusi paras 0.72800, harga berpotensi untuk mencapai penurunan ke paras support 0.72400 dan seterusnya paras 0.72000 iaitu paras yang pernah dicapai pada Januari tahun lalu.
Namun, jika harga kembali membuat kenaikan, paras resistance yang bakal diuji adalah pada 0.73600 dan jika berjaya ditembusi (breakout), paras resistance terdekat yang menjadi tumpuan adalah di sekitar paras 0.74200.
Paras support: 0.72727, 0.72368, 0.71989.
Paras resistance: 0.73465, 0.73844, 0.74203.