Matawang Euro melemah selepas penetapan dasar monetari European Central Bank (ECB) pada Khamis di mana bank pusat mengekalkan kadar faedah di paras terendah dan juga jumlah pembelian bon.
Dalam kenyataan awal sebelum sidang media pukul 8.30 malam, Presiden ECB Mario Draghi menunjukkan data ekonomi terbaru adalah lemah daripada jangkaan tetapi tidak membimbangkan. Bacaan data masih masih sejajar dengan pengembangan menyeluruh ekonomi di Zon Eropah di mana tekanan inflasi menaik secara beransur-ansur.
Draghi juga menunjukkan keyakinan bahawa kekuatan ekonomi berterusan dan menyokong jangkaan inflasi. Beliau menjelaskan risiko datang daripada “perlindungan perdagangan, pasaran baru membangun dan ketakpastian pasaran kewangan.”
Semasa soal-jawab bersama wartawan, Presiden Draghi menegaskan moementum ekonomi yang melemah seperti dalam data terkini tidak menunjukkan isyarat penurunan dan mengatakan bank pusat tiada sebab untuk “meragui keyakinan terhadap inflasi.”
Apabila ditanya tentang Itali, Draghi mengakui bank pusat tidak terlalu fokus kepada perkara itu dalam mesyuarat.
Dari segi Brexit, Draghi mengatakan bank pusat sedang meneliti rundingan itu tetapi akan bersedia dengan kemungkinan ‘Hard-Brexit’ jika tiada perjanjian.
Secara keseluruhan, ECB menjelaskan pembuat polisi tidak membincangkan halatuju masa hadapan, dan berjanji akan berbuat demikian dalam mesyuarat seterusnya 13 Disember selepas kemaskini terbaru unjuran ekonomi.