Federal Reserve seperti yang dijangka menaikkan kadar faedahnya kepada 2.25% pada awal pagi tadi, dengan Pengerusi Jerome Powell menunjukkan terdapat perubahan dalam pendirian terhadap dasar monetari.
Bank pusat menggugurkan perkataan “accomodative” dalam kenyataan awal yang dikeluarkan pada pukul 2 pagi. Ia telah mencetuskan perdebatan sama ada pengguguran perkataan itu dinilai sebagai hawkish atau dovish dengan pendapat majoriti mengatakan ia hawkish sehingga menyebabkan US dollar menguat pada awalnya.
Apa yang menyebabkan US dollar jatuh semula adalah komen Powell dalam sidang media yang berkata, “Perubahan itu tidak menunjukkan isyarat yang signifikan dalam halatuju dasar. Ia hanyalah isyarat bahawa dasar akan diteruskan mengikut jangkaan kami.”
“Jawatankuasa menjangka kenaikan beransur-ansur yang konsisten dengan perkembangan aktiviti ekonomi yang kukuh, pengukuhan pasaran buruh, dan inflasi di sekitar sasaran 2% dalam jangka sederhana. Risiko terhadap jangkaan ekonomi adalah seimbang,” demikian seperti yang diperkatakan dalam kenyataan awal.
Dalam unjuran ekonomi yang dikeluarkan, Fed menaikkan ramalan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada tahun ini daripada 2.8% kepada 3.1%. Pertumbuhan ekonomi pada 2019 juga dinaikkan dan ramalan pada 2020 dikekalkan. Namun, unjuran terhadap inflasi (Core-PCE) untuk tahun 2018, 2019, dan 2020 dikekalkan.