Harga minyak mentah WTI (West Texas Intermediate) mencapai paras tertinggi $68 yang pernah dicapai pada Mei 2015. Pengukuhan ini disokong oleh kebimbangan di Iran yang berpotensi memberi risiko kepada bekalan dunia, cuaca sejuk di Amerika Syarikat yang melonjakkan permintaan dan pemotongan output yang diketuai OPEC.
Enam hari protes anti-kerajaan terhadap kerajaan Iran telah menambah risiko geopolitik yang menyebabkan harga komoditi hitam meningkat. Bagaimanapun, pengeluaran dan eksport Iran sebenarnya tidak terkesan setakat ini.
Minyak WTI kini didagangkan di sekitar $61.80 setong setakat pukul 9.20 malam, dan minyak Brent pula di paras $67.80 setong.
“Protes di Iran menambah lagi kenaikan dalam tren pasaran minyak mentah yang menaik,” kata Norbert Rucker, ketua penganalisis di Swiss bank.
Cuaca sejuk di Amerika Syarikat juga telah menambah lagi permintaan terhadap komoditi ini khususnya bagi jenis minyak ‘pemanas’.
Lonjakan harga pada Mei 2015 berjaya mencapai paras tertinggi sejak Disember 2014. Pada ketika itulah, OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries) membuat keputusan untuk menghentikan pengeluaran yang menyebabkan harga komoditi hitam selepas itu merosot sehingga ke paras terendah.
OPEC yang dibantu oleh Rusia dan pengeluar bukan-OPEC yang lain memeterai perjanjian pemotongan pada 2016. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk menaikkan harga dengan mengurangkan lambakan bekalan.