Data terbaru oleh Energy Information Administration (EIA) menunjukkan data merekodkan pengurangan inventori sebanyak 6.1 juta tong minggu lalu di mana sebelum itu inventori merekodkan peningkatan 5.8 juta tong.
Jangkaan untuk data kali ini adalah terdapat pengurangan inventori sebanyak 2.6 juta tong. Hal ini telah menolak harga minyak mentah US oil lebih tinggi selepas data ini dikeluarkan.
Harga minyak mentah WTI (West Texas Intermediate) naik daripada paras $68.00 setong kepada $68.96 setong selepas data dikeluarkan.
Jumlah inventori minyak mentah berada di sekitar 404.9 juta tong pada minggu lalu. Pihak EIA berkata paras ini adalah tiga peratus lebih rendah dalam purata lima tahun.
Dalam laporan sama yang dikeluarkan, inventori gasolin berkurangan sebanyak 2.328 juta tong berbanding jangkaan pengurangan sebanyak 713,000 tong.
Dalam masa yang sama, terdapat peningkatan perbelanjaan projek infrastruktur di China sekaligus mengurangkan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan AS-China. Apa yang membimbangkan pasaran minyak mentah adalah ketegangan perdagangan yang mampu mengurangkan permintaan minyak dari China.
Satu lagi penanda aras utama minyak mentah dunia, Brent membuat kenaikan sebanyak 0.97% setakat ini yang membawa harga ke paras $74.14 setong.