Media Prima sekali lagi mencatatkan kerugian bersih untuk kali ke lima berturut-turut pada suku keempat 2017 sebanyak RM378.2 juta. Laporan juga menunjukkan kerugian bersih untuk tahun kewangan 2017 meningkat kepada RM650.6 juta berbanding kerugian tahun 2016 iaitu RM59.2 juta.
Media Prima yang menjalankan operasi siaran televisyen, radio dan beberapa surat khabar menyatakan kerugian ini disumbangkan oleh ubahsuai kos dan juga pengurangan tenaga kerja syarikat tersebut.
Antara stesen penyiaran televisyen terkenal di bawah Media Prima adalah TV3, 8TV, TV9 dan NTV7.
Umumnya, masyarakat pada hari ini tidak banyak menghabiskan masa mereka dengan media ‘mainstream‘. Ia bukanlah seperti 10 tahun yang lalu, di mana kita mendapatkan maklumat di televisyen, radio atau surat khabar. Kini, kita mempunyai alternatif yang lebih mudah untuk mendapatkan maklumat melalui telefon bimbit dan internet.
Statistik menunjukkan daripada 32 juta rakyat Malaysia, 24.5 juta adalah pengguna internet iaitu mewakili 76.9%. Zaman telah berubah, dan masyarakat hari ini lebih banyak menghabiskan masa senggang mereka melayari internet khususnya facebook.
Dengan statistik di atas, adalah tidak mengejutkan pendapatan Media Prima terjejas yang mungkin disebabkan hasil pendapatan pengiklanan yang semakin merosot.
Awal tahun ini, Hong Leong Bank mengatakan perniagaan percetakan dijangka akan terjejas berikutan permintaan pengiklanan yang dijangka lemah pada tahun ini.