Inflasi di Malaysia meningkat seperti yang dijangka pada Disember didorong oleh peningkatan kos pengangkutan. Harga pengguna (CPI) pada Disember naik 3.5% dari segi tahunan (YoY) berbanding 3.4% yang dicatat pada November.
Inflasi teras (Core-Inflation) naik 2.2% pada Disember berbanding tempoh sama pada 2016.
Inflasi pada Disember lebih banyak dipandu oleh peningkatan kos pengangkutan (YoY), dan harga makanan dan minuman bukan beralkohol.
Dengan peningkatan harga pengguna seperti yang diumumkan pada pukul 12 tengah hari tadi, ia dijangka akan menekan Bank Negara untuk mengkaji semula polisi monetari semasa khususnya kadar faedah semasa.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan polisi monetari terkini pada Khamis pukul 3 petang. Majoriti pemerhati pasaran menjangka BNM akan menaikkan kadar faedahnya dari 3.00% kepada 3.25% dengan prospek ekonomi yang terus positif pada tahun ini.
Dalam penetapan polisi monetari sebelum ini, BNM dilihat lebih hawkish apabila memberi isyarat tentang kajian semula tahap sokongan monetari terhadap ekonomi.
Jika dilihat dari segi pertumbuhan ekonomi, Malaysia mencatat kenaikan tertinggi sejak tiga tahun lalu pada suku ketiga 2017 dengan bacaan 6.2%.
Gabenor BNM, Muhammad Ibrahim telah mengatakan inflasi dijangka kekal di sekitar julat 3%-4% pada 2017.