Bloomberg pada Selasa melaporkan bahawa Malaysia berkemungkinan membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan selepas seorang lelaki dijatuhi hukuman mati kerana memiliki ganja yang didakwa untuk tujuan perubatan.
Agensi berita itu melaporkan bahawa Malaysia dijangka akan memulakan perbincangan untuk membenarkan penggunaannya (marijuana). Jika ia menjadi kenyataan, Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaannya.
Kabinet telah membincangkan nilai perubatan di dalam ganja dalam mesyuarat pada minggu lalu dan telah memulakan perbincangan tak-formal untuk penambahbaikan undang-undang berkaitan, demikian kata Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar dalam temubual di Putrajaya pada Selasa.
Buat masa ini, fokus adalah untuk mengubah hukuman mati yang dijatuhkan kepada seorang Lukman pada 30 Ogos yang lalu atas kesalahan memiliki, memproses, dan mengedarkan minyak terapi berasaskan ganja.
Lukman ditangkap di kediamannya pada 7 Disember 2015 kerana disyaki memiliki, memproses, dan mengedarkan ganja yang diolah menjadi minyak. Ramai golongan yang menyokong Lukman dan membantah hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau termasuklah Nurul Izzah Anwar.
Untuk pengetahuan anda, Kanada bulan hadapan akan membenarkan sepenuhnya ganja. Argentina pula telah memberikan ubatan berasaskan ganja sejak Mac 2017. Di Uruguay ia bukan sahaja dibenarkan malah menjadi satu perniagaan yang semakin berkembang.
Namun, ia masih menjadi satu topik yang hangat diperdebatkan kerana majoriti adalah tidak menyokong penggunaan ganja.
Cabaran untuk Malaysia adalah bagaimana membuat satu undang-undang baru yang spesifik bagi membezakan marijuana untuk tujuan perubatan dengan tujuan yang lain. Kementerian Kesihatan yang berkuasa dalam hal ini masih ragu dengan nilai perubatan yang ada pada ganja disebabkan tidak banyak bukti yang meyakinkan, kata Xavier.