Matawang NZD (Kiwi) menjunam pada pukul 9 pagi tadi berbanding US dollar dengan pasangan matawang NZD/USD jatuh hampir 60 pip. Bukan itu sahaja, matawang NZD juga melemah berbanding matawang-matawang utama yang lain.
Kemerosotan dalam keyakinan perniagaan berterusan pada bulan Ogos dengan bacaan indeks jatuh ke paras terendah 10 tahun lalu. Tinjauan yang dijalankan oleh bank ANZ itu menunjukkan sentimen semakin suram di mana 50% syarikat menjangka ekonomi akan merosot pada tahun hadapan.
Walaubagaimanapun, jumlah yang menjangka keadaan baik terhadap perniagaan mereka, yang menjadi indikator terbaik bagi mengukur aktiviti ekonomi kekal meyakinkan.
Bacaan indeks keseluruhan merekodkan bacaan -50.3 berbanding -44.9 yang dicatatkan sebelum ini.
Ketua penganalisis ekonomi ANZ, Sharon Zollner berkata jangkaan terhadap ekonomi adalah sederhana tetapi kekal positif.
“Kita sememangnya tidak menjangka pertumbuhan akan melonjak dalam masa terdekat. Tetapi sekarang pertumbuhan dijangka perlahan.”
Tinjauan juga menunjukkan syarikat dijangka akan mengurangkan pelaburan mereka, dan mengambil sedikit pekerja dan hanya mendapat keuntungan yang lebih kecil.
Matawang Kiwi juga dilihat mendapat kesan daripada kejatuhan data perbelanjaan modal (Capital Expenditure, Capex) Australia atas faktor serantau. Perbelanjaan modal merekodkan bacaan yang jauh meleset daripada jangkaan dengan -2.5% berbanding jangkaan 0.6%.