Harga minyak mentah dunia melonjak sehingga mencapai paras tertinggi tahun 2015 pada Selasa berikutan spekulator optimis dengan masa depan pasaran komoditi hitam. Keyakinan pasaran disokong oleh pemotongan bekalan yang sedang dijalankan oleh OPEC dan juga pengurangan aktiviti cari gali di Amerika Syarikat.
Harga minyak West Texas Intermediate (WTI) ketika ini bergerak di sekitar $62.10 setong selepas mencapai paras tertinggi hari ini di $62.49 setong.
Ketinggian yang pernah dicapai pada 2015 adalah $62.56 setong di mana harga semasa makin hampir untuk sampai ke harga tersebut. Jika harga semasa mampu menembusi harga tersebut, sasaran seterusnya adalah $70 setong.
Harga minyak Brent pula bergerak di sekitar $67.90 setong setakat pukul 3.02 petang selepas mencapai paras tertinggi hari ini di $68.02.
Pedagang-pedagang minyak mentah mengatakan harga lebih banyak dipandu oleh aktiviti spekulatif di pasaran niaga-hadapan berikutan bekalan yang semakin sedikit.
“Spekulator terus menaikkan jumlah pembelian Brent di ICE dengan spekulator menaikkan posisi mereka sehingga mencapai rekod tertinggi,” kata Bank ING.
Pengurangan jumlah pelantar di Amerika Syarikat untuk cari gali minyak mentah yang baru juga banyak menyokong WTI, kata salah seorang pedagang.