Pasaran saham global sekali lagi bermandi darah dengan majoriti indeks saham merekodkan kejatuhan lebih dari satu peratus. Penganalisis berpendapat ia berikutan sentimen negatif di Arab Saudi dan juga kebimbangan terbaru dalam perang dagang.
Dalam awal dagangan New York, Wallstreet nampaknya turut terkesan dengan sentimen semasa yang bermula dari kejatuhan pasaran Asia pagi tadi. Setakat ini ketiga-tiga indeks utama Wallstreet merekodkan kejatuhan lebih dari satu peratus.
Penjualan dalam sesi Asia telah memadam kenaikan yang direkodkan dalam dua sesi dagangan sebelum ini. Rancangan stimulus oleh kerajaan China menjadi pemangkin kenaikan tersebut apabila dilaporkan mahu mengurangkan cukai di negara itu.
Prestasi negatif di Asia memberi kesan kepada dagangan pasaran Eropah ketika ini dengan kesemua indeks utama merekodkan kejatuhan lebih 1%. Indeks saham DAX di Jerman jatuh 2.11% setakat pukul 9.49 malam, manakala CAC40 di Perancis jatuh 1.41%.
Indeks utama Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan adalah punca utama kepada kejatuhan keseluruhan pasaran saham ketika ini. CSI300 di China jatuh 2.66% dengan Hang Seng jatuh 3.22%. Nikkei 225 di Jepun jatuh 2.70%, manakala Kospi di Korea Selatan jatuh 2.57%
Di Asia Tenggara, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh sebanyak 1.37%, IDX di Indonesia jatuh 0.68%, dan indeks SET di Thailand jatuh 0.56%.
“Kita mendapat beberapa faktor negatif dengan pasaran sedang berjaga-jaga,” demikian kata Hiroyuki Ueno, strategist di Sumitomo Mitsui Trust Asset Management. “Ditambah lagi dengan laporan pendapatan syarikat Jepun yang meleset dari jangkaan, dengan beberapa dari mereka menyalahkan perang dagang.”
Presiden Donald Trump berkata pada Isnin bahawa dia tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dengan Arab Saudi tentang pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi. Beberapa negara termasuk Jerman, Britain, Perancis dan Turki telah memberi tekanan kepada Arab Saudi untuk memberikan bukti.
Sebarang isyarat ketakstabilan di Arab Saudi, iaitu negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia dan juga pelabur terbesar dalam pasaran kewangan akan memberi kesan meluas kepada pasaran.