Matawang US dollar meneruskan kenaikannya pada hari Rabu selepas keterangan yang dibuat oleh Jerome Powell (Pengerusi The Fed) di Kongres Amerika Syarikat pada Selasa. Pengukuhan US dollar banyak disokong oleh penilaian positif beliau terhadap keadaan semasa ekonomi terbesar dunia itu.
Beliau juga menegaskan, Federal Reserve iaitu bank pusat A.S. berada di landasan yang tepat untuk meneruskan kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur.
Indeks US dollar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang yang lain membuat kenaikan 0.29% setakat pada pukul 2.30 petang.
Major pair seperti EUR/USD setakat ini membuat penurunan 0.28% di mana GBP/USD jatuh sebanyak 0.21%. USD/JPY setakat ini pula naik 0.17%, USD/CAD naik 0.36% dengan USD/CHF membuat kenaikan 0.26%. Pair AUD/USD dan NZD/USD pula masing-masing membuat penurunan 0.52% dan 0.50%.
Matawang paling kuat setakat ini adalah USD dan matawang paling lemah adalah AUD. Dengan menggabungkan matawang paling kuat dan lemah, pasangan matawang AUD/USD setakat ini membuat kejatuhan 0.52%
US dollar mencapai paras tertinggi enam bulan yang lalu berbanding Yen di mana USD/JPY mencapai harga di sekitar 113.08. Ia adalah bacaan tertinggi yang dicapai sejak 9 Januari yang lalu selepas daripada kenyataan Jerome Powell.
Antara matawang yang paling banyak membuat penurunan disebabkan pengukuhan US dollar adalah matawang AUD dan NZD berikutan potensi kenaikan kadar faedah yang semakin meningkat di Amerika Syarikat. Selain itu, pengukuhan USD juga telah menyebabkan komoditi emas tertekan.
Oleh sebab pengukuhan USD, kita juga dapat melihat kejatuhan pasaran komoditi secara keseluruhan dengan matawang-matawang komoditi seperti AUD, NZD dan CAD membuat penurunan sejak Selasa.