Selepas melemah pada awal minggu ini, matawang berkadar faedah tinggi dilihat menguat pada sesi dagangan hari Khamis dengan sentimen ketika ini dalam keadaan baik. Antara matawang yang membuat kenaikan ketika ini adalah Euro, GBP, Aud dan NZD.
Tiada tanda pasaran sedang bimbang dengan risiko perdagangan dalam sesi Eropah dengan pasaran Eropah dilihat membuat kenaikan. Indeks-indeks utama saham Eropah membuat kenaikan dengan DAX di Jerman setakat ini naik 1.24%. CAC40 di Perancis pula naik sehingga 0.99%. Hal ini menunjukkan suasana pelaburan yang baik di Eropah pada Khamis sekaligus memperbaiki sentimen keseluruhan pasaran global.
Indeks US dollar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding beberapa matawang lain semakin tertekan pada sesi New York dengan merekodkan kejatuhan 0.46% setakat pada pukul 8.59 malam.
Major pair seperti EUR/USD setakat ini membuat kenaikan 0.50% dengan GBP/USD naik 0.29%. USD/JPY setakat ini pula naik 0.05%, USD/CAD susut 0.20% dengan USD/CHF jatuh 0.10%. Pair AUD/USD dan NZD/USD masing-masing merekodkan kenaikan 0.22% dan 0.38% setakat ini.
Matawang paling kuat setakat ini adalah Euro dan matawang paling lemah adalah JPY. Dengan menggabungkan matawang paling kuat dan lemah, pair EUR/JPY membuat kenaikan sehingga 0.55% pada awal pembukaan pasaran AS.
Matawang US dollar terus tertekan sejak sesi Asia dengan data pekerjaan ADP-NFP Amerika Syarikat merekodkan bacaan rendah daripada jangkaan. Tumpuan pada Khamis akan beralih pula kepada indeks PMI sektor bukan-pembuatan yang akan dikeluarkan pada pukul 10 malam.