Perang perdagangan AS-China akan terus menjadi tema utama pasaran pada minggu ini. Perkembangan terbaru menunjukkan Amerika Syarikat telah mengaktifkan tariff 25% terhadap sejumlah $16 billion produk import dari China pada Khamis.
Apa komen China dengan tariff terbaru ini? Seperti biasa, negara ekonomi kedua terbesar dunia itu akan membalas semula tariff tersebut dengan kadar dan jumlah yang sama terhadap produk import dari Amerika Syarikat.
Tariff yang berkuatkuasa pada hari ini telah membawa jumlah keseluruhan barangan yang dikenakan tariff sebanyak $100 billion sejak ia mula tercetus pada bulan Julai. Perkembangan terbaru tariff $16 billion akan memburukkan lagi pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.
Setakat ini Amerika telah mengenakan tariff kepada 279 produk dari China termasuk plastik, bahan kimia, semikonduktor, dan peralatan rel-tren. Menariknya, ini adalah barangan yang akan memberi faedah dalam Rancangan Ekonomi China “Made In China 2025” bagi menjadikan Beijing lebih kompetitif dalam industri teknologi tinggi.
Sebelum ini Presiden Trump telah mengancam untuk mengenakan tariff kepada $500 billion import kecuali China mengubah caranya dalam aturan harta-intelek, program subsidi perindustrian, dan struktur tariff termasuk membeli lebih banyak produk AS.
Jika dilihat kepada perbandingan import-eksport antara AS-China, sememangnya China lebih banyak mengeksport ke Amerika. Jika serangan tariff ini berterusan dengan jumlah yang semakin bertambah, China lebih cenderung akan kalah dan dijangka ia akan melihat kaedah lain untuk melawan serangan dagangan dari Amerika Syarikat. Antara yang mungkin dipertimbangkan oleh China adalah menghalang syarikat AS di China dan membenarkan Yuan merosot lebih rendah.