US dollar membuat kenaikan berbanding matawang-matawang utama yang lain dalam sesi dagangan semalam (Khamis). Antara yang menyokong US dolar pada Khamis adalah data-data ekonomi yang memberangsangkan di mana hampir semua data lebih daripada jangkaan pasaran.
Indeks US dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang lain pada Khamis naik sehingga 0.40%.
Antara yang penting untuk diambil kira adalah data harga import yang merekodkan bacaan 0.4% lebih baik daripada jangkaan 0.3%. Data ini penting kerana ia juga mempengaruhi pergerakan kadar inflasi di Amerika Syarikat.
Semalam, pengukuhan US dolar sedikit terganggu oleh perkembangan siasatan oleh penyiasat khas Robert Mueller yang semakin membawa siasatan kepada Presiden Trump. US dolar kehilangan sedikit keuntungannya kepada Yen selepas berita ini tersebar.
Matawang Aussie secara keseluruhan melemah berbanding matawang-matawang utama disebabkan sentimen yang berisiko khususnya perang perdagangan. Matawang AUD adalah matawang yang sensitif dengan sentimen sama seperti Yen.
Yen sejak akhir-akhir ini banyak mendapat permintaan kerana statusnya sebagai safe-haven. Pasaran ketika ini banyak beralih kepada Yen disebabkan risiko pasaran terutamanya dari Amerika Syarikat dan skandal penjualan tanah yang melibatkan Perdana Menteri Shinzo Abe.
Matawang Dolar Kanada (CAD) boleh dikatakan matawang paling lemah selepas komen dovish oleh Gabenor Bank pusat Kanada awal minggu ini. Apa yang menambah kejatuhan CAD adalah data jualan rumah yang merosot begitu banyak. Data existing home sales dijangka hanya jatuh 6.5%, tetapi merekodkan kejatuhan sehingga 16.9%. Walaupun pasaran melihat ia disebabkan peraturan hutang yang baru di Kanada, tetapi pasaran juga menjangka ini mungkin akan menjadi sebab untuk BoC menangguhkan kenaikan kadar faedahnya pada tahun ini.