Matawang Yen melemah secara keseluruhan berbanding matawang yang lain dengan USD/JPY naik 50 pip sekitar pukul 7 malam tadi. Matawang utama yang lain seperti Sterling (GBP), Euro, AUD, NZD dan CAD juga dilihat menguat berbanding Yen ketika ini.
Yen dilihat menguat sejak Isnin apabila situasi perang perdagangan semakin memuncak dengan kedua-dua negara kuasa ekonomi besar dunia Amerika-China saling berbalas ancaman dalam isu tariff perdagangan.
Jadi kenapa pula Yen melemah secara tiba-tiba?
Hal ini disebabkan pendekatan Presiden Trump yang membuat keputusan untuk tidak bertindak keras kepada China dalam isu perdagangan dua hala. Ia sekaligus telah meredakan kebimbangan pelabur dalam perkara ini.
White House tidak akan menghalang syarikat yang dimiliki 25% atau lebih oleh China daripada membeli teknologi dari Amerika Syarikat, tetapi kerajaan akan bergantung kepada Jawatankuasa Pelaburan Asing Amerika Syarikat (CFIUS) untuk menyelia pelaburan asing di negara itu agar teknologi mereka terus terpelihara.
Secara keseluruhan, tindakan ini dilihat tidak sekeras berbanding cadangan sebelum ini. Ia sekaligus telah meredakan kebimbangan pasaran terhadap perang perdagangan global.