Yen mengukuh sejak awal sesi Eropah walaupun Bank of Japan (BoJ) mengekalkan komen dovish dalam penetapan polisi monetari yang mana menegaskan komitmen mencapai sasaran inflasi 2%.
USD/JPY setakat ini telah merekodkan kejatuhan 84 pip setakat pukul 10 malam selepas mencapai paras tertinggi hari ini di 111.16. Jika dilihat dengan perkembangan semasa sentimen politik di AS, sepatutnya US dolar mengukuh berbanding Yen dengan komen dovish oleh BoJ.
Yen bukan sahaja mengukuh berbanding US dolar tetapi juga berbanding matawang-matawang utama yang lain seperti Euro, Sterling, Aussie dan juga CAD.
Ternyata apabila kita melihat kepada pasangan matawang CAD/JPY, EUR/JPY, GBP/JPY dan AUD/JPY kejatuhan USD/JPY bukan hanya disebabkan oleh kelemahan US dolar, tetapi lebih kepada pengukuhan Yen.
Jika dilihat dari segi kenyataan gabenor Kuroda petang tadi, ada sedikit perubahan terutamanya dalam ‘jangkaan inflasi’ bank pusat yang kini diubah daripada ‘lemah’ kepada ‘mendatar’.
Kuroda juga menegaskan perlunya mengekalkan pelonggaran monetari yang besar ini walaupun ekonomi sedang berkembang.
Buat masa ini, Kuroda menyatakan tiada keperluan untuk mengubah sasaran keluk-hasil bon walaupun ‘jangkaan inflasi’ kini telah meningkat. Apa yang penting adalah bank pusat mensasarkan keluk hasil dan bukannya amaun pembelian bon.