Perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China masih lagi menjadi tumpuan sebelum penghujung dagangan minggu ini dengan sentimen yang agak bercampur-campur.
Matawang dolar Australia antara yang sensitif terhadap perkembangan tersebut dengan menyaksikan reaksi pergerakan harga pada carta pasangan matawang AUD/USD.
Pada mulanya, pelabur melihat sentimen positif rundingan dengan laporan bahawa China bersetuju untuk mempertingkatkan lagi kadar pembelian produk pertanian dari Amerika Syarikat sebagai sebahagia daripada perjanjian fasa satu.
Namun, bagi memuktamadkan perjanjian tersebut, China dikatakan mahukan Amerika membatalkan pelaksanaan tarif yang dijadualkan pelaksanaannya pada Disember nanti.
Tambahan lagi, China juga memohon tarif 15% bermula 1 September ini turut dibatalkan oleh Amerika Syarikat. Kini pasaran akan menunggu respon dari pentadbiran berhubung permohonan China terbabit.
Jika dilihat pergerakan harga pada carta AUD/USD, harga dilihat mengekalkan corak penurunan harga sepanjang minggu dari paras ketinggian yang dicapai pada 0.68800.
Pada dagangan sesi Asia hari ini, harga bergerak mendatar sebelum membuat kenaikan menjelang pasaran memasuki sesi Eropah. Harga membuat kenaikan selepas menyentuh paras support 0.68100 sehingga ke zon SBR (support become resistance) pada 0.68300.
Di paras SBR itu juga, harga akan menguji garisan Moving Average 50 (MA50) yang membentuk paras halangan dinamik bagi pergerakan harga pada carta AUD/USD di mana buat masa ini lebih cenderung ke arah penurunan sehingga harga berjaya melepasi garisan tersebut.
Jika harga kembali membuat penurunan semula, harga bakal menuju semula ke paras support pada 0.68100 untuk cuba membuat penurunan lebih rendah melepasi paras tersebut.
Penurunan lebih rendah bakal mencecah ke paras sekitar 0.68900 atau lebih rendah lagi bergantung momentum penurunan harga yang ditunjukkan.
Namun jika harga meneruskan kenaikan lebih tinggi, paras ketinggian pada 0.68800 bakal diuji harga semula sebelum harga menentukan arah pergerakan yang selanjutnya.
Lihat gambar carta pasangan matawang AUD/USD di bawah untuk rujukan teknikal analisis anda.