Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan pagi ini berlatarbelakangkan pasaran Asia yang berhati-hati dipengaruhi jangkaan penurunan kadar faedah serta kebimbangan terhadap ketidaktentuan ekonomi global.
Petunjuk penanda aras FBM KLCI susut 0.11 mata kepada 1602.36 daripada 1,602.47 ketika ditutup petang Khamis dengan perolehan 283.3 juta unit bernilai RM192.83 juta.
Di pasaran lebih meluas, 206 kaunter untung, 201 kaunter rugi dan 229 kaunter tidak berubah.
Di pasaran Asia, pelabur mengambil langkah berjaga-jaga menjelang simposium tahunan Jackson Hole dengan ketidakpastian mengenai sejauh mana tindakan yang akan diambil oleh bank pusat bagi merangsang monetari dan fiskal di samping kebimbangan terhadap pertumbuhan global.
Nikkei Jepun menambah 0.25% pada pagi ini manakala Hang Seng Hong Kong naik 0.29% dan Indeks Komposit Shanghai raih 0.33%.
Sementara itu, di pasaran tempatan, Nestle susut 60 sen kepada RM148.40 manakala Ajinomoto dan F&N mengalami peningkatan dengan masing-masing naik 20 sen dan 16 sen kepada RM17.66 dan RM35.48.
Selain itu, Maxis turun 6 sen kepada RM5.50 manakala UMW kurang 8 sen kepada RM5.12. Petronas Gas Bhd pula meraih keuntungan dengan kenaikan 4 sen kepada RM16.