Sesi dagangan pagi diakhiri dengan indeks penanda aras pada 1,600.61 naik 7.73 mata menunjukkan reaksi positif pelabur atas penangguhan tarif oleh Amerika Syarikat terhadap sebahagian barangan import China.
FBM KLCI dibuka tinggi dengan 5.08 mata kepada 1,597.96 dan turun naik sekitar 1596.82 dan 1602.07 pada sesi dagangan pagi ini yang disokong oleh prestasi Petronas Chemical yang baik.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan masing-masing pada 416 dan 225 manakala 335 kaunter tidak berubah dengan perolehan 1.3 bilion unit yang bernilai RM640 juta.
Bursa tempatan didahului oleh Petronas Chemicals dengan peningkatan 8 sen kepada RM7.32 manakala CIMB dan Sime Darby Plantation masing-masing naik 6 sen kepada RM5.06 dan RM4.66.
Pasaran serantau meningkat apabila saham Wall Street melonjak semalaman ketika Presiden AS Donald Trump, menangguh pelaksanaan tarif 10% ke atas import China iaitu pada telefon bimbit, komputer riba dan barang pengguna lain.
Nikkei Jepun naik 0.9% manakala Indeks Komposit Shanghai menokok 0.8% dan Kospi Korea Selatan meningkat 0.7%.
Selain itu, ringgit meningkat 0.3% berbanding dolar AS pada 4.1830 dan naik 0.45% berbanding dolar Singapura pada 3.0191.